Saturday 8 December 2012

Isu ~ Teknologi dan plagiarisme dalam kalangan mahasiswa IPT


Teknologi yang semakin pesat merupakan faktor utama berlakunya kegiatan plagiarisme dalam kalangan mahasiswa IPT. Plagiarism mengikut Kamus Dewan adalah “perbuatan meniru atau mengutip sebahagian atau keseluruhan karya orang lain tetapi mengakui karya tersebut sebagai usahanya sendiri”. Dari segi bidang akademik pula bermaksud “gejala menciplak oleh pelajar, profesor penyelidik dan dianggap sebagai penyelewengan akademik”. Budaya “copy and paste”” merupakan satu jenayah akademik, tetapi rami pelajar tidak menyedari bahawa ia adalah satu kesalahan.

Gejala plagiarisme juga merupakan perbuatan yang tidak beretika dan saling tak tumpah konsepnya seumpama merompak. Ia terjadi apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu. Ada beberapa bentuk plagiarisme yang diamalkan. Antaranya penipuan secara langsung perkataan-perkataan, perenggan atau sebarang bahan yang diambil daripada bahan terbitan orang lain tanpa usaha yang sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut. Pengubahsuaian perkataan-perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dengan teknologi 'dunia di hujung jari' melalui internet pada masa kini, diakui seseorang pelajar mampu menyiapkan kertas kerja atau tesisnya dengan jalan pintas yang cepat.

Terdapat beberapa langkah untuk mencegah kegiatan plagiarisme ini dari terus berleluasa dalam kalangan pelajar terutamanya mahasiswa IPT, antaranya ialah :
1)      Pihak universiti harus mewujudkan peraturan atau jika sudah ada, haruslah dikuatkuasakan kuasa undang-undang berkenaan budaya plagiarisme dan maklumkan kesalahan dan kesan negatifnya kepada semua pensyarah dan juga pelajar. Pihak universiti juga perlu pastikan bahawa dalam buku panduan akademik di setiap fakulti mengandungi maklumat dan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat sebagai cara mencegah dan menangani sebarang plagiarisme.

2)      Pihak pengurusan fakulti boleh mengaplikasikan perisian komputer atas talian yang dapat mengesan sebarang aktiviti plagiarisme dalam penulisan tesis atau tugasan pelajar. Perisian-perisian seperti ini diaplikasikan oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia yang digunakan secara meluas dalam menangani isu plagiarisme dalam penulisan akademik oleh pelajar. Misalnya, perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System, cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik secara atas talian.

3)      Para pensyarah adalah berperanan untuk membimbing konsep plagiarisme kepada para pelajar bukan sekadar dalam penulisan tesis, bahkan dalam tugasan, laporan mingguan, pembentangan dan sebagainya. Pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih degil membuat tugasan akademik secara plagiat sama ada meminta pelajar mengubahsuai tugasan tersebut atau melaporkannya kepada pihak universiti.

4)      Pelajar pula harus bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis yang tidak mengandungi unsur plagiarisme. Setiap universiti mempunyai buku panduan penulisan akademik dan mereka perlu menuruti semua sistem dan disiplin penulisan yang telah ditetapkan. Mereka perlu sedar bahawa penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri. Jadikan lah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran mereka.